بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Hari ni semangat nak habiskan buku kemudian baca lagi dan baca lagi. Kemudian buat review. Aku tau blog ni tiada pembaca. Jadi, biarlah review buku syok sendiri ni di sini.
Perempuan Nan Bercinta merupakan novel pertama yang menjadi bahan bacaan serius aku dan juga merupakan novel pertama yang aku review. Novel ini hasil karya Dr. Faisal Tehrani, nama yang tidak asing lagi dalam dunia penulisan novel. Aku bukanlah pemuja manusia (novelis, artis dan seangkatan sebab mereka mahu hasil kerja mereka yang dihargai, bukan mereka.)
Novel ini dibahagikan kepada 30 bab (if i'm not mistaken sebab menaipnya kat kedai dan buku dalam bilik tidur.) Aku ambil masa 3 minggu juga nak habiskan untuk pusingan pertama (Mungkin review yang aku hantar kat Benz yang pertama dan terakhir. Tak kritis katanya. Huhu.) Untuk pusingang pertama, aku belum jumpa kaitan jalan cerita dengan tajuk novel. Apa yang bercinta? Siapa perempuan tu? Tapi tak pe, aku teruskan membaca. Berkenalan dengan watak Dr. Tengku Idora, seorang feminis yang menerajui Modest Women Oriental; Bastinian, seorang pengkaji sastera melayu dan jatuh hati dengannya; Dr Ali Taqi, pengasas FASEH dan seorang sunni yang moderate dengan fahaman Syiah; Hashemi, anak murid Dr. Ali Taqi serta adik ipar Dr. Tengku Idora dan Tengku Zanjabila, adik Dr. Tengku Edora serta isteri Hashemi.
Pada bahagian awal bab, penulis berjaya memberi aku bayangan suasana forum dan perbincangan seperti forum dan debat di antara Dr. Ali Taqi dan Dr. Tengku Edora tentang feminis; perbincangan tentang ilmu antara Dr. Ali Taqi dan Bastinian dan perbincangan kebudayaan, juga antara Dr. Ali Taqi, Hashemi dan Zanja. Kemudian, penulis meneruskan cerita dengan perubahan fikiran Idora tentang feminis dan penangkapan Dr. Ali Taqi oleh pihak penguasa kerana beliau dilaporkan ada kaitan dengan pengganas (?). Ini membawa kepada kemunculan watak-watak lain yang bagi aku, Faisal Tehrani akan keluarkan novel berkisar tentang mereka. Apa yang aku dapat, novel ini memberi pengenalan awal tentang Syiah secara mudah dan ringkas.
Oleh kerana kecenderungan novel ini terhadap Syiah, novel ini telah diharamkan oleh pihak ber'kuasa' Malaysia. Menyekat sesuatu tanpa membenarkan pihak sebelah sana mengemukakan hujah adalah bacul. Saranan aku, banyakkan membaca, bertanya pada ahli dan elakkan menerima maklumat dari satu pihak sahaja. Aku tidak berpihak pada Syiah tapi tidak adillah jika kita pilih untuk mengkafirkan mereka yang memilih jalan Syiah. Masih banyak tentang Syiah yang aku tak tahu. Sekadar hari Karbala dan apa yang terjadi di Syiria belum cukup bagi aku untuk menuduh Syiah yang diceritakan oleh Faisal Tehrani itu sesat.
No comments:
Post a Comment